Monday, November 26, 2012

Bahasa Arab Adalah Bahasa Yang Indah


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Segala pujian bagi Allah tuhan sekalian alam (2), Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani (3) Yang Menguasai hari pembalasan (4) Hanya Engkau sahajalah yang kami sembah dan kepada Engkau sahajalah kami memohon pertolongan (5) Tunjukkanlah kami jalan yang lurus (6) Iaitu jalan orang - orang yang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang - orang yang Engkau murkai, dan bukan pula (jalan) orang - orang yang sesat (7)

Sesungguhnya saya telah memulakan blog ini yang mana ini adalah post pertama dengan dimulai dengan surah al-Fatihah kerana saya ingin memuliakan ayat al-Quran al-Karim kerana ia adalah sebaik - baik kalam berbanding dengan kalam makhluk dan saya menganggap blog ini sebagai risalah ilmiyah kepada mereka yang berilmu di mana saya akan membincangkan mengenai bahasa arab dan kaedah - kaedahnya untuk kamu semua mengambil manfaat
dengan apa yang ada padanya sama ada untuk belajar atau mengajar kepada yang lain. Sesungguhnya Allah swt telah mengilhamkan kepada saya untuk menulis mengenai bahasa arab dan kaedah - kaedahnya sehinggalah semua manusia mendapat faedah daripadanya. Tetapi mungkin saya akan menulis sebahagiannya dalam bahasa melayu sehinggalah orang yang membaca blog ini akan faham secara lebih mendalam. Dan kerana inilah sebab saya menulis blog ini dan mengaplikasikan setiap apa yang telah saya belajar di universiti kerana khuatir akan hilangnya ilmu ini daripada dada.

Bukanlah saya melainkan manusia yang lemah yang tidak mampu untuk menggunakan di sini prosa kata yang hebat lagi tinggi yang memerlukan kepada kamus untuk memahaminya, tetapi saya akan menulisnya dengan cara yang mudah sehingga mereka yang melihatnya tersenyum kerana mereka faham ke atas apa yang telah saya tulis. Walaubagaimanapun, saya akan menulisnya dengan penulisan yang penuh dengan qawaid arab (kaedah-kaedah arab) dan uslub (gaya bahasa) ayat mengikut kaedah - kaedah nahu yang betul. Dan mungkin dalam blog ini, terdapat banyak penggunaan pada mansubat yang saya mengiranya sebagai pelajaran yang paling panjang dalam nahu. Dan mungkin juga kamu akan dapati padanya maf'ul bih dan maf'ul mutlak bagi feel kedua - duanya mahzuf (dihilangkan) atau maf'ul li ajlih dan sebagainya sebagai tanda bahawasanya bahasa arab itu adalah bahasa yang sangat indah daripada bahasa - bahasa yang lain dalam masa yang sama kamu dapat merasai kelazatannya daripada qawaid (kaedah - kaedah)nya dan gaya bahasanya. Sekiranya kamu bertanya, " kenapa kamu menulis dengan kaedah nahu yang tinggi sehingga orang yang membacanya tidak faham? Maka saya akan menjawab dengan bahawasanya saya ingin menunjukkan kepada kamu semua akan kekuatan bahasa arab dan demikian juga keluasannya sehinggalah kamu semua mempelajari daripadanya.

Baik, saya tidak ingin untuk memanjangkan kata - kata, maka saya akan memulakannya dengan pengenalan bahasa arab dan diikuti faedah - faedahnya. Maka apakah yang kamu tahu mengenainya? Adakah ia bahasa yang paling susah di dunia? Adakah seseorang sekiranya mula mempelajarinya memerlukan waktu yang panjang untuk menjadi mahir? Maka jawapan bagi pertanyaan - pertanyaan ini bergantung pada diri sendiri. Saya beri kamu satu contoh, sekiranya seorang pelajar disoal, adakah bahasa ini susah, lalu dia menjawab dengan jawapan yang positif. Sebenarnya jawapan ini menjadikannya lemah untuk mempelajarinya dan mungkin menjadi satu sebab untuk malas belajar kerana sifat malas itu membawanya kepada kebosanan. Ya , memang tidak saya nafikan bahawa bahasa arab itu susah kerana saya telah merasai kesusahannya dan saya telah mendengar daripada orang lain mengenainya pada peringkat awal. Sesungguhnya saya telah memilih bahasa arab sebagai bahasa ketiga selepas bahasa saya iaitu bahasa melayu dan bahasa inggeris dan saya melebihkannya dari bahasa - bahasa yang lain di dunia kerana ia adalah bahasa Allah swt dan nabiNya saw. Dan bukan itu sahaja, malah saya mempelajarinya bersungguh - sungguh untuk berinteraksi bersama ulama' serta berbual bersama mereka dengan ayat - ayat al-Quran mahupun hadis - hadis nabi saw yang merupakan asal bahasa tersebut. Demi Allah, sekiranya kamu belajar bahasa ini dalam keadaan kamu bersungguh - sungguh maka kamu tidak dapatinya melainkan sesuatu yang mudah dan kamu memahami al-Quran sekiranya kamu membacanya serta mempunyai kekuatan untuk mengi'rabnya. Baik, sesungguhnya bahasa arab itu mempunyai banyak kaedah tetapi ini tidak menunjukkan bahawa ianya susah malah ini adalah kekuatannya dan keindahannya berbanding dengan bahasa lain. Dan saya melebihkannya daripada bahasa saya sendiri kerana ingin memuliakannya.

Baiklah, apakah beza antara bahasa arab dan bahasa selainnya? Adakah penting untuk kita mempelajarinya sehingga kita dapat memahami al-Quran semuanya? Saya tidak mempunyai bahasa yang banyak kecuali empat bahasa iaitu bahasa saya bahasa melayu, bahasa inggeris, bahasa arab, dan bahasa sepanyol yang saya sedang mula mempelajarinya. Tetapi saya ingin melontarkan pendapat saya mengenainya bahawa bahasa arab itu mempunyai perbezaan yang besar antara bahasa selainnya. Saya tidak mampu menyatakannya tetapi saya dapat merasai perbezaannya. Sesungguhnya saya telah belajar bahasa lain dan saya membezakannya kemudian saya dapati bahawa bahasa arab sangat cantik daripada bahasa yang lain. Dan apabila saya membaca al-Quran, maka saya akan berkata pada diri sendiri, "sesungguhnya ini adalah bahasa Allah, tiada sesiapa pun yang boleh menandingi kata - kataNya kerana kuatnya bahasaNya yang indah. Adakah tidak kamu mengetahui bahawa orang yang bukan arab mampu membaca al-Quran dengan bacaan yang betul dan tajwid yang tepat juga mereka mempunyai suara yang merdu lebih baik daripada sebahagian orang arab. Tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca walaupun satu perkataan sehinggakan sekiranya mereka ingin memahaminya, mereka perlu kepada terjemahan al-Quran dalam bahasa mereka. Dan saya juga begitu pada mulanya. Oleh sebab inilah saya ingin dan suka untuk mempelajarinya supaya saya dapat memahami al-Quran sepenuhnya dan dapat menghayatinya ketika membaca. Dan alhamdulillah, sekarang saya faham apa yang saya baca dan mampu untuk mengi'rab setiap perkataan dan ayat dalam al-Quran. Saya bersyukur sangat - sangat kepada Allah kerana Dia telah menganugerahkan kepada saya kefahaman ke atas al-Quran dan bahasaNya yang agung.

Selain itu, adakah penting untuk kita mempelajari bahasa arab untuk memahami al-Quran selengkapnya? Maka dengan ini , saya akan memberitahu kepada kamu sesungguhnya kefahaman al-Quran secara menyeluruh tidak tercapai oleh seseorang melainkan dia mempelajari bahasanya secara mendalam kerana al-Quran itu adalah kalamullah bukan kalam selainNya. Apabila dia tidak mendalaminya, bagaimana boleh dia memahami kalamullah. Sekiranya kamu bertanya kepada saya, "dalam era globalisasi ini, telah dicetak banyak terjemahan al-Quran...." maka saya pun menjawab, " terjemahan al-Quran kepada bahasa lain itu tidak sama dengan makna sebenar dalam al-Quran". Apabila kita membacanya daripada terjemahan maka kita tidak nampak dan tidak dapati padanya keindahan ayat dan mu'jizat dari segi bahasa. Maka kita tidak mampu untuk mengistinbat sesuatu hukum dalam ilmu feqh dan tidak memahaminya dengan baik juga tidak mengetahui keindahannya. Adakah tidak kamu mengetahui bahawa satu perkataan dalam bahasa arab mempunyai banyak makna, dan pertukaran baris boleh membawa kepada pertukaran makna?! Belajarlah dan lazimkanlah belajar sehingga kita menjadi seorang yang fasih dalam bahasa Allah swt dan saya memohon kepada Allah swt semoga Dia menerima segala amalan kita dan memasukkan kita ke dalam rahmatNya.


Sebenarnya, blog ini mempunyai dwi-bahasa, bahasa arab dan bahasa melayu. Sekiranya antum ingin membaca blog saya dalam bahasa arab, boleh pergi ke bahagian bahasa arab. Sebenarnya post ini asalnya telah ditulis dalam bahasa arab. Jadi saya menterjemahkannya supaya setiap individu mendapat manfaat daripadanya.. (^_^)...


No comments:

Post a Comment