Tuesday, December 18, 2012

Tips – tips untuk menjadi mahir membaca kitab arab (kitab turath)



Assalamualaikum.. sudah lama tidak menulis kerana sejak kebelakangan ini, saya begitu sibuk dengan imtihan , urusan pendaftaran madah, pembelian tiket untuk keluar ke jalan Allah di France, nusrah Jemaah, dan sebagainya.. hari ini saya ingin berkongsi kepada pembaca – pembaca sekalian mengenai kaedah – kaedah untuk mahir membaca dan memahami kitab arab (kitab turath). Saya bukanlah begitu mahir, tapi saya ingin berkongsi pengalaman saya dari mula sehinggalah saya dapat memahami kitab turath. Saya yakin ramai lagi yang hebat dan mahir membaca kitab arab.

    Tetapi sebenarnya, yang saya ingin tekankan di sini adalah membaca dengan baris yang betul dan pemahaman dalam konteks. Memang ramai yang pandai membaca tapi bukannya dengan pembacaan yang baik dan pemahaman yang bagus. Kerana sekiranya kita tidak mendalaminya, kita akan salah memahami konteks ayat dan apa yang ingin penulis sampaikan. Saya sangat teringin memberitahu kepada antum semua yang ilmu membaca kitab turath ini sangat sangat penting kerana kesalahan membacanya akan menjurus kepada kefahaman yang salah. Betul , saya x tipu.. kadang – kadang kita baca satu muka surat, kita faham lain. Esoknya kita baca kembali dengan kefahaman yang berbeza dari hari semalam. Ini adalah perkara yang lazim berlaku kepada mereka yang baru bermula dan ingin berjinak – jinak dengan kitab turath.



    Ada orang kata pada saya “ buat apa kita nak belajar baca kitab turath, sekarang kan dah ada kitab yang diterjemahkan dalam bahasa kita”. Maka saya jawab, bukan semua kitab telah diterjemah dalam bahasa melayu, bahkan kebanyakkannya masih belum diterjemah. Banyak lagi kitab yang tidak terdapat di negara kita Malaysia dan sedikit sangat kitab yang sudah diterjemah. Saya pun sudah beritahu pada post yang lalu bahawa sekiranya seseorang hanya membaca kitab yang sudah diterjemah dalam bahasa kita, sebenarnya dia bukannya membaca apa yang dia faham dalam kitab tersebut, bahkan dia sebenarnya membaca apa yang penterjemah faham dari kitab asal. Kadang – kadang penterjemah ada yang tersilap terjemah kerana kecuaian, maka dia pun akan bertaqlid buta dengan penterjemah dan paling teruk  mengeluarkan sesuatu fatwa atau hukum melaluinya. Fenomena ini sangat bahaya dan sering berlaku kepada pelajar yang tidak mengambil endah untuk mempelajari daripada kitab asal iaitu kitab turath. Memang saya sangat tekan dan begitu keras kepada pelajar – pelajar yang mempelajari bidang agama supaya mempelajari membaca kitab turath secara sempurna agar ia menjadi manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat.

    Banyak dalam kalangan pelajar sama ada yang belajar di luar negara atau dalam negara yang tidak mengambil endah dalam memahami ayat dan pembacaan yang betul ketika membaca kitab turath. Saya berani kata dalam banyak – banyak pelajar, yang boleh membaca dengan baris yang betul dan kefahaman yang baik hanya 10% sahaja dan bakinya masih lagi tidak begitu mahir dalam membacanya. Sebab mungkin alasan – alasan yang tidak munasabah mereka berikan kononnya “saya bukanlah pelajar kuliyah adab dan bahasa arab”, “saya bukanlah datang di sini untuk membaca kitab” dan sebagainya dengan alasan – alasan yang sangat – sangat tidak munasabah dan tidak boleh diterima langsung. Saya ingin menegaskan di sini bahawa kemahiran membaca kitab turath sangat penting dan perlu disematkan dalam setiap individu yang belajar agama sama ada di luar negara mahupun dalam negara.

Ok. Saya tidak mahu memanjangkan kata – kata, sekarang saya akan berkongsi cara – cara dan kaedah untuk mahir membaca kitab arab turath dan mamahaminya.


1.     Mesti diniat dalam hati dan bersungguh – sungguh ingin membacanya




Kita mesti tanamkan dalam hati kita bahawa membaca dan mempelajari kitab arab itu bukanlah satu mustahil kepada diri kita. Jangan sesekali mengatakan bahawa kita tidak sanggup untuk membacanya. Ini akan mengakibatkan jiwa kita merasa lemah dan semangat akan pudar untuk mempelajari membacanya. Seseorang yang mempunyai semangat yang kuat dan mantap akan menjadikan dirinya bersungguh – sungguh untuk mencapai matlamatnya. Dah macam ceramah motivasi dah.. huhu ^^

2.     Pemilihan kamus


Kamus Mahmud Yunus
Pemilihan kamus juga sangatlah penting bagi saya kerana sekiranya kita salah memilih kamus, maka pemahaman kita pada ayat akan salah dan tidak sesuai pada konteks. Pemilihan kamus itu bergantung pada kitab yang kita baca. Kalau kitab itu mengenai kontemporari, kita mesti guna kamus yang mengandungi mufradat yang kontemporari. Kalau kita membaca kitab lama, maka kita kena gunakan kamus yang mengandungi mufradat yang lama. Dan ini sangat penting bagi saya. Sekarang ramai pelajar hanya merujuk pada satu kamus sahaja dan tidak merujuk pada kamus yang lain. Sebagai pelajar, kita mesti memiliki kamus yang banyak untuk memahami konteks ayat dengan pemahaman yang sebenar. Saya cadangkan pelajar – pelajar yang baru ingin belajar kitab turath menggunakan kamus KAMUS MAHMUD YUNUS, KAMUS AL-KHALIL. Bagi kitab kontemporari boleh guna KAMUS AL-FARID. Ini syor saya sebab saya memang gunakan kamus – kamus ini serta kamus – kamus lain yang saya tidak nyatakan di sini. Apabila saya mula membaca kitab turath dahulu, di sisi saya mesti ada 4 kamus dan sekiranya saya mempunyai perkataan yang tidak faham, maka saya akan merujuk perkataan tersebut pada keempat – empat kamus tersebut kemudian saya bandingkan dan sesuaikan dalam konteks ayat. 


3.     Sentiasa mendampingi mereka yang mahir dalam ilmu nahu.

Apabila kita ingin menjadi mahir untuk membaca kitab turath dengan baris yang tepat dan betul, maka mestilah kita selalu mendampingi orang yang mahir dalam ilmu nahu kerana sekiranya kita hanya membaca sendiri tanpa ada pemerhatian daripada mereka yang mahir, maka kita tidak akan menjumpai kesalahan dalam pembacaan kita. Saya bagi syor sekiranya kita benar – benar ingin mahir membaca kitab turath dengan baris yang betul, bawa buku yang kita ingin baca dan bacalah di hadapan mereka yang hebat dalam ilmu nahu. Cara begini saya gunakan dahulu di sekolah menengah setiap kali waktu rehat saya tidak makan tetapi saya akan jumpa ustazah saya yang sangat hebat dalam ilmu nahu dan membaca kitab turath di hadapan beliau.

4.     Pilihlah kitab yang senang pada peringkat permulaan

Sekiranya kita ingin mula – mula membaca kitab turath maka kita mestilah memilih satu kitab yang pengarangnya menggunakan ayat dan uslub yang mudah dan tidak susah. Sebagai contoh, bagi mereka yang ingin mula membaca kitab turath dengan betul bacalah kitab – kitab karangan imam Nawawi (wafat pada tahun 676 H) kerana metod penulisan beliau adalah dengan menggunakan uslub yang mudah dan ayatnya tidaklah begitu tinggi sesuai untuk mereka yang ingin mempelajari membaca kitab turath. Antara kitab – kitab imam Nawawi adalah Minhaj at-Thalibin, al-Majmu’, Minhaj syarh Sahih Muslim, al-Azkar dan banyak lagi kitab – kitab beliau. Kitab Minhaj syarh Sahih Muslim adalah kitab pertama yang saya pilih untuk mempelajari kitab turath semasa saya di sekolah menengah. Sekiranya kita sudah mempunyai kemahiran membaca maka cubalah membaca kitab peringkat pertengahan seperti kitab Fathul Bari syarh Sahih al-Bukhari karangan Ibn Hajar al-A’sqalani (wafat pada tahun 852 H), Awjazul Masalik ila Muwatha’ Malik karangan Zakaria al-Kandahlawi (wafat pada tahun 1402 H) dan sebagainya. Sekiranya sudah bertambah kemahirannya, boleh cuba membaca kitab level yang tinggi uslub dan ayat nya seperti kitab ASYBAH WAN NAZHAIR FI AL-NAHWI, HAMU’ al-HAWAMI’ karangan imam as-Suyuti (wafat pada tahun 911 H), NASYATUL NAHWI WA TARIKH ASYHARIL NUHAH karangan Syeikh al-Thantowi, KALILAH WA DIMNAH oleh Ibn Muqaffa' (wafat pada tahun 145 H) dan sebagainya. Ini adalah kitab – kitab yang saya syorkan kepada mereka yang ingin memahirkan dirinya untuk membaca kitab arab turath.

Minhaj Syarh Sahih Muslim karangan imam Nawawi

   Ada orang tanya saya, kenapa para ulama’ ada menulis dengan menggunakan uslub yang mudah dan ada yang susah sampai tidak faham apa yang dimaksudkannya. Bagi pendapat saya yang lemah ini, penulisan sesebuah kitab itu mencorakkan keperibadian penulis tersebut. Contohnya penulisan imam Nawawi adalah penulisan yang mudah dan tidak susah. Bacalah mana – mana kitab beliau metod penulisannya adalah sama sahaja sangat mudah dan senang. Bagi saya , bukanlah maksudnya imam Nawawi tidak begitu hebat dalam membuat ayat, tetapi bagi saya, imam Nawawi menggunakan metod penulisan yang mudah agar semua orang yang membaca kitab – kitab beliau dapat memahami dengan baik dan memudahkan orang lain. Bagi ulama’ yang menggunakan metod penulisan yang agak susah dan rumit pula seperti penulisan imam Suyuti dalam kitab beliau HAMU’ al-HAWAMI’, bagi pendapat saya yang lemah ini, ulama’ yang menulis kitab dengan metod yang agak susah menunjukkan bahawa bukan calang – calang orang yang boleh membaca kitabnya. Hanya mereka yang hebat dan menguasai bahasa arab sahaja yang dapat memahami. 


5.     Membaca dengan baris selengkapnya dan menentukan I’rab setiap perkataan

Kebanyakkan pelajar – pelajar yang membaca kitab turath sering kali membaca dengan mematikan semua baris hujung pada setiap perkataan. Bagi saya ini adalah cara yang paling salah dan menyebabkan diri kita menjadi malas untuk mengetahui baris hujung setiap perkataan. Point ke lima ini sangat penting di sisi saya kerana pemahaman pada baris hujung setiap perkataan memainkan peranan yang penting untuk menentukan kedudukan sebenar perkataan. Dan untuk membariskan setiap baris hujung perkataan memerlukan asas ilmu nahu yang baik kerana ini akan membantu untuk memahami konteks ayat dengan lebih tepat. Ada orang kata, “kalau macam tu kita kena belajar ilmu nahu sampai jadi sibawaih barulah boleh baca kitab turath, sibawaih pun belajar ilmu nahu 20 tahun lebih, maknanya kena tunggu sampai dua tahun lebih lah baru boleh baca kitab turath!!”. Saya pun akan menjawab, bukannya kita perlu mendalami ilmu nahu secara mendalam sehingga menjadi seperti sibawaih, kalau macam tu memang sampai tua pun kita tidak boleh membaca kitab turath. Maksud saya, kita mestilah tahu asas – asas ilmu nahu, I’rabnya dan alamat I’rabnya seperti mubtada’ mesti marfu’. Kalau kita tidak tahu mubtada’ marfu’ sehingga ada orang mendakwa yang mubtada’ mansub, jadi macam mana kita nak faham kitab turath sampai mubtada’ pun tidak tahu I’rabnya!!!.  

6.     Mengetahui istilah – istilah harakah dan baris

Sekiranya kita rajin membaca kitab turath kita mesti tidak terlepas dengan istilah harakah sama ada dalam kitab feqh, hadis, lugah, nahu, tafsir, dan sebagainya seperti di bawah :


Isilah – istilah sebegini sering dijumpai dalam mana – mana kitab turath. Ada sesetengah dan kebanyakkan tidak menghiraukannya. Bagi saya istilah – istilah sebegini sangat penting untuk difahami. Ok timbul satu persoalan, kenapa istilah – istilah begini wujud? Saya menjawab, sebenarnya penulisan dalam bahasa arab pada zaman dahulu tidak mempunyai titik dan baris. Jadi para ulama’ ingin menunjukkan kepada kita bahawa setiap huruf dalam bahasa arab mempunyai sifat – sifat yang terperinci. Selain itu juga, istilah ini sangat penting untuk kita mengetahui sesuatu baris perkataan walaupun perkataan tersebut mempunyai huruf – huruf yang sama tetapi berbeza baris. Saya bagi contoh perkataan (حميد) saya tidak letakkan baris tapi bagaimana kita hendak membacanya adakah dengan lafaz “hamid” atau “humaid”. Jadi istilah – istilah begini dipakai supaya kita mengetahui sebutan dengan lebih betul. Sekiranya kita menyebut dengan baris yang salah, maka akan larilah maksud perkataan tersebut. Ada banyak istilah – istilah sebegini yang dapat dijumpai dalam kitab turath bukan hanya kitab lugah malah hadis, tafsir, feqh, akidah, dan sebagainya. Jadi untuk manfaat semua saya akan menyebutkan istilah – istilahnya dan menyatakan contohnya pada post yang akan datang kerana takut panjang dan sebab itulah saya namakan blog saya awjazul masalik iaitu jalan – jalan yang paling ringkas iaitu bukannya panjang ^^.

7.     Mengambil perhatian huruf “jar” mahupun “zorof” selepas isim atau feel

Kebanyakkan pelajar yang membaca kitab turath tidak mengambil endah dan mengabaikan huruf jar mahupun zorof yang terletak selepas isim atau feel kerana bagi mereka huruf jar atau zorof itu tidaklah begitu penting. Tetapi bagi saya yang lemah ini, ianya memainkan peranan yang penting untuk memahami konteks ayat dalam kitab turath. Seperti yang kita maklum, istilah ini juga digunakan dalam bahasa inggeris atau dikenali dengan phrasal verb sebagai contoh : take down berbeza makna dengan take up juga take away. Bahasa arab juga adalah sama dan ia adalah bahasa yang sangat terperinci. Sekiranya kita mencari makna sebutir – sebutir, ini akan menjadikan kita tersalah faham pada sesuatu ayat.  Contohnya perkataan yang sangat masyhur dan selalu kita dengar iaitu (رغب عن) dan (رغب في) mempunyai maksud yang sangat berbeza malah kedua – dua perkataan ini adalah kata lawan antara satu sama lain. Perkataan pertama memberi maksud benci dan perkataan kedua memberi maksud suka. Sekiranya kita tidak mengambil endah dalam huruf jar ataupun zorof selepas feel dan isim akan menjadikan kita tersalah faham dalam konteks ayat. Saya bagi sepotong hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari :

فمن رغب عن سنتى فليس منى

Maksudnya : “maka barangsiapa yang benci akan sunnahku maka dia bukanlah daripada golonganku”.

Maka sekiranya ada diantara kita yang tidak mengendahkan huruf jar mahupun zorof yang terletak selepas isim dan feel, lalu menukar daripada  (رغب عن) kepada (رغب في) menjadi sebegini :

فمن رغب في سنتى فليس منى

Maka maksudnya telah bertukar menjadi lawannya : maka barangsiapa yang suka pada sunnah ku maka dia bukanlah daripada golonganku. Nampak x !!!! betapa pentingnya huruf jar dan zorof. Pertukarannya walaupun nampak mudah sudah boleh menukar makna ayat semuanya dan sangat bahaya pada mereka yang mengistinbat hukum tanpa melihat dari sudut ini. Saya akan bagi contoh lain yang terdapat dalam kitab Fathul Bari :


    Jadi ayat ini panjang sikit. Tapi kita focus pada ayat yang dimulai daripada (والجواب عن الأول) sehinggalah (يمتنع العدول عنه). Sebenarnya saya nak focus perkataan (العدول عنه) kerana ia terdiri daripada isim dan huruf jar atau zorof. Perkataan (العدول) sekiranya kita buka kamus ia memberi maksud ‘lurus’ atau ‘sama’. Manakala perkataan (عن) pula bermaksud daripada. Jadi kalau kita gabungkannya maka menjadi lah “sama daripadanya”. Ini adalah terjemahan dan kefahaman yang salah dan terpesong. Bagi saya perkataan (العدول عنه) bukanlah memberi maksud “sama daripadanya” tetapi terjemahan yang betul adalah “terkeluar daripadanya” atau “tersempang daripadanya”. Bahasa arab apabila ingin mengatakan “terkeluar dari jalan” atau “tersempang dari jalan” maka mereka akan mengatakan (عدول عن الطريق). Jadi terjemahan yang tepat bagi ayat di atas adalah :

dan jawapan bagi soalan yang pertama bahawa sesungguhnya khutbah itu (permualaan kalam) tidaklah semestinya mempunyai dalamnya satu konteks yang menegah keluar daripadanya ….” Iaitu maksud Ibn hajar, tidak semestinya kalau kita hendak memulakan satu percakapan kena guna satu ayat sahaja sehinggakan tidak boleh keluar daripada ayat tersebut.

    Jadi nampak x kepentingan huruf jar dan zorof selepas isim dan feel. Jadi tipsnya , kalau kita hendak mencari maksud sebenar sesuatu perkataan yang mempunyai huruf jar atau zorof selepasnya maka kita cari di dalam kamus yang baik. Antaranya kamus yang saya gunakan adalah kamus MAHMUD YUNUS kerana kamus ini akan meletakkan perkataan beserta huruf jar dan zorofnya. Tapi bagi saya kamus yang lebih baik adalah kamus LISAN AL-ARAB karangan Ibn Manzhur (wafat pada tahun 711H) bagi mereka yang mahir dalam bahasa arab.

8.     Membuat latihan baris pada kitab turath

Kalau kita hendak mahir untuk membaca kitab arab dengan baris yang betul, maka kita perlu lakukan latihan. Mesti pelikkan apa yang saya maksudkan. Maksud saya latihan ini adalah latihan membariskan kitab arab. Dan ini adalah cara saya pada masa dahulu untuk mendapatkan kemahiran membaca kitab arab yang betul. Caranya sangat mudah. Kita hanya print satu muka surat dari kitab arab dan kita bariskan selengkapnya kemudian kita serahkannya kepada mereka yang mahir dalam bidang nahu. Jadi mereka yang mahir dalam bidang nahu ini akan menyemak. Sekiranya ada kesalahan maka akan dibetulkan dengan pen merah agar dapat diingati kesalahannya. Cara ini sangat – sangat menolong saya dahulu dan membantu memperbaiki bacaan saya dalam kitab turath..^^

Antara latihan saya dahulu di sekolah menengah, ini adalah daripada kitab Awjazul Masalik karangan Zakaria al-Kahdahlawi

Jadi inilah serba sedikit tips yang saya boleh share kepada pembaca sekalian bagaimana kita ingin mahir membaca kitab arab dengan betul dan tepat. Ada banyak lagi tips yang ingin saya kongsikan tetapi memadailah ini dahulu. Dan saya akan buat di blog saya satu slot mengenai cara dan tips membaca kitab arab. Saya akan terangkan secara terperinci mengenai istilah baris pada huruf di post akan datang. Semoga mereka yang membaca post ini mendapat manfaat daripadanya dan sebarkannya kepada mereka yang tidak membaca.

Dan jangan lupa doakan saya setiap solat supaya saya menjadi hamba Allah yang berkorban demi agama Allah dengan mengikut segala sunnah nabi Muhammad saw. (^_^)

Wasalam…







7 comments:

  1. Alhamdulillah, tabarakallah atas ilmu yang bermanfaat ini.

    ReplyDelete
  2. بارك اللله فيك
    nak tanya cmne nk dptkn kamus mahmud yunus tu? rsenya kat sini xde..

    ReplyDelete
    Replies
    1. maaf lah ustazah Ummu aiman. sbb kamus ini pun kawan saya hadiahkan kepada saya. rasanya di sini tiada..

      Delete
  3. Kamus Mahmud Yunus banyak dijual disekitar masjid India KL.

    ReplyDelete
  4. saya masih merangkak gear satu ni. masih belajar dan banyak salah. masih konfius nak baca satu ayat tu dengan sifat mansup / na'at man'ut atau mudaf mudafun 'ilaih. baru 2 kali baca depan guru saya, banyak salah.

    ReplyDelete
  5. I wish I can learn Arabic again...10 tahun dah tinggalkan ilmu Arab ni...last blaja masa spm....
    Klo org yg baru nak start balik ni....nak baca buku APA ye?

    ReplyDelete
  6. I wish I can learn Arabic again...10 tahun dah tinggalkan ilmu Arab ni...last blaja masa spm....
    Klo org yg baru nak start balik ni....nak baca buku APA ye?

    ReplyDelete