Tuesday, December 25, 2012

Pengenalan Istilah-Istilah Baris Dalam Kitab Turath (BAHAGIAN 2)


Assalamualaikum.. 

Apa khabar wahai pembaca sekalian... Hari ini saya akan menyambung menulis mengenai Pengenalan Istilah-Istilah Baris Dalam Kitab Turath.. Pada post yang lepas, saya sudah terangkan mengenai istilah pada titik huruf.. Jadi pada pembaca yang belum lagi membacanya, maka boleh melihatnya pada link ini : Pengenalan Istilah-Istilah Baris Dalam Kitab Turath (BAHAGIAN 1)

Ok. Sekarang kita akan berpindah pula pada istilah baris huruf. Istilah baris huruf ini agak senang kerana kita banyak sudah tahu istilahnya. Tapi saya akan terangkan juga secara terperinci supaya antum semua mendapat faedah daripadanya.


1.  مَفْتُوْحَة  baris atas / fathah بَ )
Rata – rata yang belajar membaca al-Quran mesti mengetahui istilah ini. Apa yang dimaksudkan dengan fathah ye?? Sebenarnya istilah ini membawa maksud buka asal perkataan adalah ف ت ح yang membawa maksud buka, kerana apabila kita menyebut baris atas / fathah kita terpaksa membuka mulut barulah akan keluar sebutan baris ini. Contohnya apabila kita ingin menyebut huruf ( بَ ) maka kita mestilah membuka mulut barulah hasilnya berbunyi (ba). Kalau kita tidak buka mulut, maka tidaklah keluar bunyi (ba). Saya berikan satu misal dalam kitab Fathul Bari karangan Ibn Hajar yang menggunakan istilah ini :
Memberi maksud “ditasydid kan huruf ra yang berbaris atas. Maka menjadi seperti ini ( رَّ ).
 2.  مَضْمُوْمَة  baris depan / dhommah ( بُ)
Istilah ini juga selalu didengar bagi mereka yang meniliti kitab arab turath, istilah yang digunakan adalah bi dhommi (بضم) atau al-madhmumah (المضمومة) yang memberi maksud huruf tersebut berbaris depan. Sebenarnya perkataan dommah ini berasal daripada ( ضمَّ) ( يضُمّ) yang bermaksud bersatu atau bergabung. Jadi dinisbahkan kepada baris depan kerana ketika kita menyebut sesuatu huruf yang berbaris dhommah maka mulut kita mesti dimuncungkan dan bibir atas dan bibir bawah disatukan atau digabung menjadi muncung dan terkeluarlah bunyi dhommah atau baris depan. Sebagai contoh dalam kitab al-Minhaj syarh Sahih Muslim karangan imam Nawawi :
هو بفتح الفاء وتشديد الراء المضمومة

Memberi makna : dengan bariskan fathah (depan) pada huruf “fa” dan huruf “ra” yang berbaris dhommah ditasydidkan menjadi ( فَرُّ ).

3.  مَكْسُوْرَة  baris bawah / kasrah ( ثِ )
Saya rasa tidak perlu saya terangkan apakah itu baris kasrah. Baris kasrah adalah baris bawah kerana kita akan menyebut sesuatu huruf yang berbaris bawah dengan nada bawah. Contohnya adalah :
الفاء المكسورة
Iaitu huruf “fa” berbaris bawah ( فِ ).

4.  سَاكِنَة  baris mati / sukun (بْ )
Sebenarnya sakinah ini atau pun dikenali sebagai sukun bukanlah terdiri daripada baris dalam huruf arab. Sebenarnya yang dimaksudkan dengan sukun ini adalah huruf yang mati iaitu tiada baris. Sebab itulah dinamakan sebagai sukun iaitu berasal daripada perkataan س ك ن  yang memberi maksud tenang iaitu huruf yang tenang daripada baris. Contoh istilah ini yang digunakan dalam kitab turath :
الموحدة الساكنة

Iaitu huruf “ba” yang mati ( بْ ). Antara istilah lain yang digunakan adalah “iskan” (إسكان).

5.  مُشَدَّدَة تَشْدِيْد  baris syaddah ( بّ )

Secara asasnya, syaddah ini adalah pergabungan 2 huruf yang sama, huruf pertama berbaris sukun, huruf kedua berbaris dhommah atau fathah atau kasrah.

الراء المشددة
Huruf “ra” disyaddahkan ( رّ )

6.  خَفِيْفَة مُخَفَّفَة baris yang ringan (bukan syaddah)
Istilah ini digunakan dalam kitab turath dan ramai pelajar tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan istilah ini. Perkataan ( خفيفة ) sebenarnya bermaksud ringan kerana huruf itu akan menjadi ringan jika disebut baris tanpa syaddah berbanding dengan baris syaddah yang akan diterangkan selepas ini. Sebagai contoh di dalam Fathul Bari :
Maksudnya : dibariskan atas huruf ya dan dibariskan bawah huruf jim yang diringankan ( ليَرجِع ) li yar ji a’.

7.   الثَّقِيْلَة المُثَقَّلَة baris yang berat (bersyaddah)
Istilah ini membawa maksud ‘berat’ daripada ث ق ل. Kerana huruf yang bertasydid adalah berat untuk disebut. Misalnya daripada kitab Fathul Bari :
Iaitu dengan huruf ‘ha’ yang tidak bertitik dan huruf ‘zal’ yang bertitik yang diberatkan. Iaitu ( الحذَّاء ).

Apakah perbezaan antara ثقيلة  dan خفيفة dan apakah kegunaannya. Seperti yang saya katakan (ثقيلة ) itu adalah huruf yang berat bukannya maksudnya ciri huruf yang berat tetapi baris yang berat yang menyebabkan sukar untuk menyebutnya. Maka baris yang berat itu adalah syaddah (ّ    ). Saya bagi contoh, apabila dikatakan ( الدال المثقلة ) maka bentuk huruf ‘dal’ adalah seperti di bawah :

دْ + دَ = دَّ

Maka di situ ada dua huruf, huruf pertama berbaris sukun dan huruf kedua berbaris fathah. Jadi apabila kita ingin menyebutnya akan berasa berat kerana mulut kita akan terpaksa ditutup dan berhenti sebentar kemudian dikeluarkan angin daripada mulut untuk mengeluarkan bunyi huruf tersebut mengikut baris selepasnya. Huhu dah macam muqaddimah fi lisaniyyat dah (ilmu linguastik). ^^

Manakala (خفيفة) pula, ia adalah lawan bagi (ثقيلة ) kerana maksudnya adalah ringan iaitu huruf yang baris tanpa tasydid kerana akan terasa ringan ketika menyebutnya berbanding dengan (ثقيلة ). Sebagai contoh apabila kita menyebut huruf ‘dal’ yang berbaris fathah, maka kita akan berasa ringan menyebutnya kerana tiada syaddah.

Apa kepentingan istilah ini dalam kitab turath?? Bagi saya ini adalah sangat penting kerana kitab arab tidak berbaris, maka apabila kita menyebut tanpa bertasydid dan sebaliknya ini akan menukar makna perkataan itu sendiri. Saya beri misal supaya antum semua boleh nampak :

Saya ambil daripada kitab Fathul Bari dalam bab (إثم من كذب على النبي صلى الله عليه وسلم) [berdosa barangsiapa yang berdusta ke atas Nabi saw]. Sekarang saya ingin antum semua mengambil perhatian pada perkataan (أما) dalam ayat (أما إني لم أفارقه). Bagaimana kita ingin membaca perkataan ini. Adakah dengan baris yang berat (الثقيلة) atau ringan (الخفيفة)? Jadi kita akan dapati baris yang betul melalui syarah hadis daripada Ibn Hajar :
Maksudnya : “ (أما) itu adalah dengan huruf mim yang diringankan dan ia adalah salah satu daripada huruf ‘tanbih’…”

*[huruf tanbih adalah huruf untuk mengambil perhatian pendengar dan ia tidak memberi sebarang makna seperi perkataan (هذا), yang memberi makna “ini” sebenarnya adalah (ذا) dan huruf ha di situ adalah huruf tanbih supaya pendengar memberi perhatian maka sebutannya adalah “ha… za”]

Jadi bacaan yang betul adalah (أمَا) ‘ama’ dengan diringankan huruf mim iaitu huruf tanbih bukannya mim yang diberatkan (أمَّا)amma kerana ia memberi maksud manakala atau adapun. Jadi istilah sebegini penting untuk memahami hadis. Saya akan beri misal lain supaya lebih jelas. Cuba lihat hadis di bawah, dalam sahih al-Bukhari dalam kitab ‘Azan’, bab ‘Azan sebelum fajar’ :

حدثنا أحمد بن يونس قال حدثنا زهير قال حدثنا سليمان التيمى عن أبى عثمان النهدى عن عبد الله بن مسعود عن النبى - صلى الله عليه وسلم - قال « لا يمنعن أحدكم - أو أحدا منكم - أذان بلال من سحوره ، فإنه يؤذن - أو ينادى - بليل ، ليرجع قائمكم ولينبه نائمكم ، وليس أن يقول الفجر أو الصبح » . وقال بأصابعه ورفعها إلى فوق وطأطأ إلى أسفل حتى يقول هكذا . وقال زهير بسبابتيه إحداهما فوق الأخرى ثم مدها عن يمينه وشماله .

Sekarang kita nak focus pada perkataan (ليرجع) dalam ayat (فإنه يؤذن - أو ينادى - بليل ، ليرجع قائمكم ولينبه نائمكم). Hadis in tidak berbaris tetapi bagaimanakah bacaan yang tepat adakah dengan diberatkan huruf jim menjadi (ليُرَجِّعَ) atau diringankan huruf jim menjadi (ليَرْجِعَ). Cuba kita lihat apa yang al-Hafiz Ibn Hajar katakan dalam kitabnya yang agung Fathul Bari :


Maksudnya : “ (ليرجع) adalah dengan huruf ya yang berbaris atas dan berbaris bawah huruf jim yang diringankan (ليَرْجِعَ), digunakan sebegini dalam keadaan lazim (feel yang tidak memerlukan mafu’lul bih) dan mutaa’di (feel yang memerlukan mafu’lul bih). Dikatakan : (رَجَعَ زيدٌ ورجَعَت زيدًا) dan tidak boleh dikatakan pada mutaa’di dengan baris berat (رجَّعت). Maka dengan ini, barangsiapa yang meriwayatkannya dengan baris dhommah dan diberatkan huruf jim (ليُرَجِّعَ) adalah salah. Maka sesungguhnya ia menjadi makna (الترجيع) iaitu (الترديد) [mengembalikan], dan itu bukanlah maksud kami di sini. Sebenarnya makna yang asal adalah ‘orang yang mendirikan solat tahajjud kembali kepada kerehatannya untuk mendirikan solat subuh dalam keadaan cergas atau dia mempunyai keinginan untuk berpuasa maka sebab itu dia bersahur….”

Dengan contoh di atas kita akan dapati kesilapan yang besar kepada mereka yang tidak mengambil endah pada huruf yang berbaris berat dan ringan kerana ia boleh bertukar makna sebenar ayat.

Alhamdulillah, sekarang kita sudah selesai mengetahui bahagian pertama dan kedua. Jadi saya akan terangkan kepada antum bahagian yang ketiga pada post akan datang kerana saya takut antum semua jemu baca tulisan saya yang agak panjang.. 

Ok, jumpa lagi pada post akan datang.. Wassalam.

No comments:

Post a Comment