Friday, December 21, 2012

Pengenalan Istilah-Istilah Baris Dalam Kitab Turath (BAHAGIAN 1)

Assalamualaikum… selamat sejahtera saya ucapkan kepada antum sekalian. Seperti yang saya janjikan pada post lalu, saya akan terangkan istilah – istilah harakah (baris) secara terperinci pada post kali ini. Sebelum itu saya ingin memberi pendahuluan dahulu mengenai istilah ini. Bagi sesiapa yang belum lagi membaca Tips – tips untuk menjadi mahir membaca kitab arab (kitab turath) boleh membacanya dahulu sebelum membaca post ini.^^

Pada zaman dahulu, huruf – huruf bahasa arab tiada titik dan tiada baris. Jadi para ulama’ telah bersepakat untuk meletakkan titik dan baris supaya mudah untuk para pembaca mengenal huruf dalam bahasa arab. Saya di sini tidak mahu menceritakan sejarah bermulanya titik dalam huruf bahasa arab kerana takut panjang post ini nanti. Jadi istilah – istilah sebegini digunakan dalam kitab turath untuk membuktikan kepada kita bahawa bahasa arab adalah bahasa yang sangat terperinci sehinggakan dengan berubahnya titik dan baris boleh membawa kepada makna yang lain malah boleh membawa makna yang berlawanan dari asal. Jadi pada kali ini, saya ingin kongsikan kepada antum semua apa yang saya tahu mengetahui istilah – istilah ini.

Saya yang lemah ini, telah membahagikan istilah ini kepada tiga : 
1.       Titik huruf
2.       Baris huruf
3.       Bentuk perkataan

Jadi saya akan terangkan mengenai istilah pada titik huruf dahulu ye ^_^.


Sebenarnya sesetengah huruf boleh menjadi serupa dengan sebab sebutannya. Jadi penulis membezakannya dengan menyatakan ciri – ciri huruf tersebut. Maka huruf ba (ب), ta (ت), tha (ث) dan ya (ي) menyerupai satu sama lain dari bentuknya. Maka disifatkan huruf – huruf tersebut seperti di bawah :

1.  المُوَحَّدَة (al-muwahhadah) huruf yang bertitik satu.
Istilah ini sangat popular dan sering dijumpai dalam kitab arab, tetapi ramai dalam kalangan pelajar tidak mengetahuinya. Sebenarnya ini adalah istilah bagi huruf ba (ب). Kerana huruf ba (ب) mempunyai satu titik. Jadi istilah ini diberikan kepada huruf ba (ب) bukan huruf yang lain.
Maksudnya : (برة) dengan huruf bertitik satu (huruf ba) berbaris depan (dhommah) dan ditasydidkan huruf ra yang berbaris atas iaitu sebiji gandum. [بُرَّة]

2.  المُثَنَّاة (al-muthannah) huruf yang bertitik dua.
Ini adalah istilah bagi huruf ta (ت) sahaja bukan pada huruf lain. Dinamakan istilah ini pada huruf ta (ت) kerana ia mempunyai dua titik berbanding dengan huruf ba (ب), tha (ث). Antara istilah lain yang digunakan adalah (المثناة الفوقانية / المثناة الفوقية) iaitu huruf yang bertitik dua atas. 

Maksudnya : (إذا يتكلوا) dengan ditasydidkan huruf bertitik dua yang berbaris atas dan huruf kaf yang berbaris bawah. [يَتَّكِلوا].

3.  المُثَلَّثَة (al-muthallathah) huruf yang bertitik tiga.
Bagi huruf tha (ث) pula, inilah istilahnya kerana ia bertitik tiga berbanding huruf ba (ب) yang bertitik satu, ta (ت) yang bertitik dua, dan ya (ي) yang bertitik dua di bawah. Dan istilah ini dikhaskan bagi huruf ta (ث) sahaja bukan huruf lain. Sebagai contoh :
Maksudnya : (ويثبت) adalah dengan difathahkan huruf awalnya (ي) dan disukunkan huruf yang bertitik tiga (ث) dan didhommahkan huruf yang bertitik satu (ب) dan huruf bertitik dua berbaris fathah (ت). [ويَثْبُتَ].

4.  التَّحْتِيَّة (tahtiyyah) huruf yang bertitik bawah.
Ini adalah istilah bagi huruf ya (ي) kerana ia mempunyai titik di bawah berbanding kawan – kawannya yang lain. Antara istilah lain yang digunakan untuk huruf ya (ي) adalah (التحتانية) [huruf bertitik bawah], المثناة التحتية / المثناة التحتانية [huruf yang bertitik dua di bawah]. Contohnya :
وقوله " ومن يرائي " بضم التحتية والمد وكسر الهمزة

Maksudnya : (ومن يرائي) dengan didhommahkan huruf bertitik bawah, kemudian huruf mad dan dibariskan bawah huruf hamzah. [يُرَائِي].

*Persoalan : Bagaimanakah kita boleh bezakan antara istilah huruf ta (ت) dan ya (ي)?
Maka jawapannya : Apabila istilah (المثناة الفوقانية / المثناة الفوقية) maka itu adalah huruf ta (ت) kerana maksudnya adalah huruf yang bertitik dua di atas. Sekiranya istilah (المثناة التحتية / المثناة التحتانية) maka itu adalah huruf ya (ي) kerana ia memberi maksud huruf yang bertitik dua di bawah. Sekiranya istilah (المثناة) sahaja tanpa disifatkan dengan (التحتية) mahupun (الفوقية), maka itu adalah huruf ta (ت) bukannya huruf ya (ي). Dan bagi istilah (التحتية) pula, disifatkan pada huruf ya (ي) sahaja.

*Bagi huruf nun (ن) pula tidak mempunyai sebarang istilah kerana huruf ini tidak mempunyai persamaan antara huruf lain dari segi lafaz mahupun sebutan. Maka memadailah dengan disebutkan huruf nun tanpa istilah lain.

Jadi bagi huruf selain ba (ب), ta (ت), tha (ث) dan ya (ي), istilahnya adalah seperti berikut :

1.  المُهْمَلَة (al-muhmalah) huruf yang tidak bertitik.
Perkataan (المهملة) adalah berasal daripada (أهْمَل) yang memberi makna mengabaikan. Maka (المهملة) itu adalah daripada wazan (مُفعلة) iaitu isim mafu’l yang memberi maksud “yang diabaikan”. Jadi huruf ini adalah diabaikan titiknya dan lebih senang faham iaitu huruf yang tidak bertitik. Cuba lihat contoh di bawah :
Maksudnya : (عن أبي الطفيل) dengan baris depan huruf tha (ط) yang tidak bertitik dan huruf fa (ف) yang berbaris atas.

2.  المُعْجَمَة (al-mu’jamah) huruf yang bertitik.
Sebenarnya dari sudut lugha (bahasa) perkataan ini berasal daripada (ع ج م) yang bermaksud jelas. Jadi apabila ditambahkan huruf hamzah di depan maka jadilah (أعجم) yang berlawanan maksudnya dari asal iaitu samar atau tidak jelas. Maka istilah (المعجمة) memberi makna yang tidak jelas kerana huruf yang bertitik asalnya tidak jelas dengan huruf yang tidak bertitik, sebab itulah huruf itu diletakkan titik supaya nampak jelas. Sebagai contoh, huruf zal (ذ) asalnya tidak bertitik pada masa dahulu. Maka bentuknya sama dengan huruf dal (د). Jadi huruf zal (ذ) nampak tidak jelas dan diletakkan titik supaya jelas berbanding huruf dal (د) yang merupakan huruf (المهملة) yang bermaksud huruf yang diabaikan iaitu diabaikan kejelasannya kerana sudah jelas tanpa diletak titik. Jangan pening ye.^^. Senang cerita, istilah (المعجمة) bermaksud huruf yang bertitik manakala (المهملة) memberi makna huruf yang tidak bertitik. Sebagai contoh :
Maksudnya : (صلاة الجماعة تفضل) dengan berbaris atas huruf awalnya (ت), huruf fa (ف) yang berbaris sukun dan dibariskan dhommah huruf dhod (ض) yang bertitik.

Sekiranya ada orang bertanya : “kenapa dinamakan (الذال المعجمة) [huruf zal (ذ) yang bertitik], walhal huruf zal (ذ) memang bertitik pun. Huruf dal (د) pun sama, kenapa dinamakan (الدال المهملة) padahal huruf dal (د) memang tidak bertitik??”
Jadi saya akan jawab, pada zaman dahulu, huruf hijaiyyah ini tidak bertitik dan untuk membezakannya, mereka telah meletakkan titik. Selain itu, penulis juga ingin pembaca memberi perhatian pada huruf tersebut bahawa huruf tersebut adalah tidak bertitik atau sebaliknya kerana kadang – kadang pembaca leka dan tidak perasan titiknya lalu tertukar maknanya sekali gus merosakkan ayat. Saya bagi misal dalam kitab Fathul Bari karangan al-Hafiz Ibn Hajar :
Maksudnya : (وكان ابن الناطور) iaitu dengan huruf tha (ط) yang tidak bertitik. Dan di dalam riwayat (الحموي) dengan huruf zho (ظ) yang bertitik dan ia dalam bahasa arab memberi maksud penjaga kebun. Dan terdapat dalam riwayat al-Laith daripada Yunus (ابن ناطورا) dengan tambahan huruf alif pada akhirnya, maka dengan ini, ia adalah nama bukan arab.

Contoh yang lain :
Maksudnya : (باب تحريض) iaitu dengan huruf dhod (ض) yang bertitik. Dan sesiapa yang mengatakannya dengan huruf yang tidak bertitik (ص) di sini, maka sesungguhnya dia telah silap.

Jadi sekiranya kita tersalah dan tercuai membaca titik sekalipun telah menyebabkan larinya konteks ayat. Maka dengan sebab itu para ulama’ berjaga – jaga dan mengambil perhatian ke atasnya.

Sebenarnya istilah (المعجمة) dan (المهملة) ini adalah untuk huruf – huruf yang mempunyai bentuk yang sama dan dekat sebutannya. Saya jelaskan lagi, setiap huruf mempunyai sifat huruf yang sama dengan huruf yang lain. Sebagai contoh, huruf sin (س) dan huruf syin (ش) sebutannya adalah dekat dan mempunyai persamaan pada bentuknya sekiranya dibuang titik. Maka bagi huruf sin (س) istilahnya adalah (المهملة) manakala huruf syin (ش) pula adalah (المعجمة). Begitu juga huruf a’in (ع) dan huruf ghin (غ) mempunyai ciri – ciri yang sama. Maka untuk membezakannya, huruf a’in (ع) itu adalah (المهملة) dan huruf ghin (غ) pula adalah (المعجمة). Manakala huruf ha (ح) dan huruf kha (خ) mempunyai sebutan yang dekat dan persamaan pada bentuknya. Jadi huruf ha (ح) adalah (المهملة) dan kha (خ) adalah (المعجمة). Tetapi berbeza pada huruf jim (ج) kerana ia jauh sebutannya dengan huruf ha (ح) dan huruf kha (خ). Maka huruf jim (ج) tidak menggunakan istilah (المعجمة) mahupun (المهملة). Jadi memadailah huruf jim (ج) dengan disebut huruf jim (ج) sahaja. Huruf ra (ر) dan huruf zai (ز) tidak mempunyai istilah kerana kedua – dua huruf tersebut tidak hampir sebutannya. Oleh sebab itulah kedua – dua huruf tersebut tidak mempunyai istilah sendiri dan memadailah hanya menyebut hurufnya sahaja. Situasi ini sama sahaja pada huruf fa (ف) dan qof (ق). Jadi untuk para pembaca mendapat istifadah, saya akan senaraikan setiap huruf dan istilah – istilahnya. (^_^)..
1
ب
=
الموحدة
9
ش
=
المعجمة
2
ت
=
المثناة
10
ص
=
المهملة
3
ث
=
المثلثة
11
ض
=
المعجمة
4
ح
=
المهملة
12
ط
=
المهملة
5
خ
=
المعجمة
13
ظ
=
المعجمة
6
د
=
المهملة
14
ع
=
المهملة
7
ذ
=
المعجمة
15
غ
=
المعجمة
8
س
=
المهملة
16
ي
=
التحتية


Ok. Sekarang kita akan berpindah pula pada istilah baris huruf. Tapi saya akan menulisnya pada post yang akan datang.. Ok.. semoga tuan - tuan yang membaca dapat mengaut banyak manfaat daripadanya. Saya memohon ribuan kemaafan sekiranya mempunyai kesalahan kata atau ayat.. 

Ingat , jangan lupa untuk baca post yang akan datang :)
Wasalam...

2 comments:

  1. salam.
    Saya sangat teruja dngan ilmu yang sheikh miliki. berharap dapat belajar dengan sheikh. saya pelajar di irbid.

    ReplyDelete