Friday, November 30, 2012

Laa tahzan innallaha ma’ana…


“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita” (9 : 40)




Wahai saudaraku yang diredoi Allah,
Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya itu adalah ujian daripada Allah tuhan sekalian alam. Dialah tuhan yang menurunkan hujan dari khazanahnya, mencipta langit tanpa tiang, menjadikan gunung – ganang sebagai pasak, menciptakan mata untuk manusia melihat, memberi makhluknya telinga untuk mendengar. Maka tiada tuhan melainkanNya. Dialah satu – satunya tuhan yang disembah dan Dialah Yang Maha Esa. Hanya kepadaNyalah kita meminta pertolongan dan kepadaNya kita kembali.

Duhai saudaraku yang soleh,
Ketahuilah sesungguhnya tiada satupun makhluk di muka bumi ini layak hidup melainkan dengan izinNya. Maka dahulunya manusia ini adalah tanah, tanah yang berada di bawah daripada yang lain, yang dipijak, yang tidak dipandang.

Tetapi Dia telah menjadikan manusia daripada tanah lalu mengangkat manusia menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi untuk mengagungkan namaNya dan membawa suruhanNya. Sesungguhnya Allah swt telah berfirman dalam surah al-Baqarah (2 : 30) :

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ (30)

“Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka (para malaikat) berkata : “Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Allah berfirman : “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahui”.

Duhai saudaraku yang dikasihi Allah,
Hayatilah tamsilan yang tidak seberapa ini. Sesungguhnya sekiranya kita berada di dalam suasana yang sangat gelap sehingga tidak terlihat oleh kita sesuatupun, maka bagaimanakah kita perlu menghalau gelap tersebut? Adakah kita perlu membawa penyapu dan menghalaunya sehingga dia keluar? Maka bawalah walaupun sekecil – kecil cahaya nescaya kegelapan itu akan pergi dan meninggalkan kita. Dan ketahuilah bahawasanya kegelapan itu adalah kejahilan dan cahaya itu adalah keimanan. Dan suasana itu adalah kehidupan di dunia. Malangnya terdapat bayang – bayang yang manusia selalu tidak menyedarinya meskipun ia selalu mengekori dan mengikut gerak – geri manusia. Maka ketahuilah, sesungguhnya bayang – banyang itu adalah kehidupan akhirat yang manusia selalu lupa akannya dan pasti berlaku. Allah yang Maha Mulia berfirman dalam surah al-Baqarah (2 : 257) :

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (257)

“ Allah adalah pelindung (yang mengawal dan menolong) orang – orang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. Dan orang – orang yang kafir, penolong – penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan. Mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”.

Wahai saudaraku yang beriman,
Sekiranya kamu berasa sedih dengan dugaan yang dialami di muka bumi ini, maka janganlah kamu menangis kerana itu adalah ujian daripada Allah tuhan yang Maha Pengasih. Sesungguhnya tidaklah seorang itu yang hidup di alam ini melainkan dia diuji oleh Allah kerana itu adalah ujian keimannanya. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut (29 – 2,3) :

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ (2) وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (3)

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang – orang  yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang - orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang  yang dusta."

Ketahuilah wahai saudaraku yang mulia, sesungguhnya ujian yang ditimpa bukanlah sesuatu kesedihan yang patut ditangisi selama – lamanya. Tetapi itu adalah tanda cinta dan kasih Allah kepada kita supaya kita sentiasa mengingatiNya dalam keadaan susah dan sedih. Janganlah anggap bahawa sesuatu ujian yang diberikan oleh Allah adalah tanda kebencianNya bahkan ia adalah bukti kesayanganNya pada hambaNya. Maka janganlah kamu bersedih, bergembiralah wahai saudaraku kerana baginda saw bersabda :

عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِىَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ.

Daripada nabi saw bersabda : “Sesungguhnya besarnya balasan itu bersama dengan besarnya ujian. Dan sesungguhnya Allah apabila sayang pada sesuatu kaum itu maka Dia akan mengujinya. Maka barangsiapa yang redho dan pasrah maka dia akan mendapat rehoNya. Dan barangsiapa yang marah (tidak bersabar) maka dia akan mendapat kemurkaanNya”. Hadis riwayat imam at-Tirmizi.

Maka ketahuilah, tidaklah Allah menguji orang yang dikasihiNya melainkan untuk menghapuskan kesalahannya. Dan itu adalah janji Allah pada orang yang beriman. Maka wahai saudaraku, janganlah kamu berasa kecewa tatkala kamu diuji dan janganlah kamu berputus asa kerana itu adalah pematah imanmu seumpama sebatang kayu yang ditinggalkan lamanya, tidak dibersihkan dan dilihat. Maka akan datanglah anai – anai menghakisnya sedikit demi sedikit sehinggalah tidak terlihat akannya rupanya. Rasulullah saw bersabda :

عن أبي هريرة يقول قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من يرد الله به خيرا يصب منه.

“Daripada Abu Hurairah ra berkata, telah bersabda Rasulullah saw : “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah dengan kebaikan maka dia akan ditimpakan dengan musibah.” Hadis riwayat iman al-Bukhari.

Duhai saudaraku yang diberkati,
Sesungguhnya terdapat seseorang yang dihantar sebagai penyuluh seluruh alam. Dia tidak pernah disihir dan terpukau dengan keindahan dunia walaupun dia mampu memperolehnya. Dia tidak pernah merasai makanan yang enak dan kekenyangan mahupun duduk di atas kerusi yang lembut. Setiap hari dia akan berasa lapar dan dahaga sehinggakan tidak terlarat akannya melakukan sesuatu. Dia tidak pernah tidur di atas tilam yang empuk. Dan tidaklah pula dia mengharapkan belas kasihan makhluk. Meskipun dia adalah seorang insan yang sangat mulia di alam ini, dia tidak pernah memuliakan dirinya bahkan memperhambakan dirinya. Setiap hari kedua – dua matanya mengeluarkan permata kerana takutkan tuhannya dan sayangkan umatnya. Maka ketahuilah, dialah Rasulullah saw orang yang dikasihi Allah di alam ini. Ketahuilah kisahnya di dalam hadis, :

عن أبى هريرة قال : دخلت على النبى صلى الله عليه وسلم وهو يصلى فقلت يا رسول الله إنك تصلى جالسا ما أصابك قال الجوع يا أبا هريرة فبكيت فقال لا تبك يا أبا هريرة فإن شدة الحساب يوم القيامة لا تصيب الجائع إذا احتسب فى دار الدنيا.

“Daripada Abu Hurairah ra berkata : “ aku telah berjumpa dengan nabi saw dan ketika itu dia sedang bersolat. Maka aku berkata : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau solat dalam keadaan duduk, apa yang telah menimpa engkau? Baginda saw bersabda : “Lapar wahai Abu Hurairah”. Maka aku menangis. Rasulullah saw bersabda : “Janganlah engkau menangis wahai Abu Hurairah, kerana beratnya penghisapan nanti di hari kiamat tidak akan menimpa orang yang hidupnya lapar di dunia jika dia menjaga dirinya di kehidupan dunia”. Hadis riwayat Ibn ‘Asakir dan Baihaqi di sya’bul Iman.

Wahai saudaraku yang diberkati,
Kehidupannya adalah seperti kehidupan seorang hamba meskipun dia adalah pemimpin orang – orang Islam. Apakah kita tidak memikir kelaparannya walaupun setiap hari kita merasai kekenyangan. Dia lah nabi Allah yang tercinta dan dialah penghulu syurga kerana pengorbanan dirinya kepada agama.

عمر بن الخطاب قال : دخلت على رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو على حصير. قال : فجلست فإذا عليه إزار وليس عليه . وإذا الحصير قد أثر في جنبه . وإذا أنا بقبضة من شعير نحو الصع وقرظ في ناحية في الغرفة وإذا إهاب معلق . فابتدرت عيناي . فقال: ما يبكيك يابن الخطاب؟ فقلت يا نبي الله ومالي لا أبكي؟ وهذا الحصير قد أثر في جنبك وهذه خزانتك لا أرى فيها إلا ما أرى وذلك كسرى وقيصر في الثمار والأنهار . وأنت نبي الله وصفوته . وهذه خزانتك . قال : يابن الخطاب ألا ترضى أن تكون لنا الآخرة ولهم الدنيا ؟ قُلْتُ بَلَى.

“Umar bin al-Khattab ra telah berkata : “Aku telah berjumpa dengan Rasulullah saw dan ketika itu beliau di atas tikar (yang diperbuat daripada pelepah tamar). Lalu aku pun duduk, maka tiba – tiba (aku dapati) beliau hanya menggunakan kain sebagai lapik dan tiada kain lain selain itu, dan tikar itu telah membuat bekas pada pipinya. Aku juga (melihat) segenggam gandum sekitar satu sha’ dan daun pohon untuk menyamak yang terletak di sisi biliknya serta kulit yang tergantung. Maka kedua mataku mengalirkan air mata. Beliau bertanya, “Apa yang membuatmu menangis wahai Ibnu Khattab?” Aku menjawab, “Wahai Nabi Allah, bagaimana aku tidak menangis, sementara tikar ini membekas di pipimu. Dan ini, almarimu yang tidak ku lihat dalamnya kecuali apa yang aku lihat. Sedangkan raja Kisrah (Parsi) dan raja Kaisar (Rom) dipenuhi buah – buahan dan sungai – sungai. Engkau adalah Nabi Allah dan pilihanNya, dan ini adalah almarimu! Beliau menjawab, “ Wahai Ibnu Khattab, tidakkah kamu redho kita mendapat akhirat dan mereka mendapat dunia? Aku menjawab, “Tentu”. Hadis riwayat Ibn Majah.


Duhai saudaraku yang bernama yang diredhoi Allah,
Janganlah kamu rasa dirimu keseorang dan kesunyian seperti berada di dalam gua yang gelap gelita walaupun kamu merasai kejauhan keluarga dan sahabat – sahabatmu tetapi tabahlah wahai saudaraku dan ketahuilah bahawa Allah bersama kamu dan orang – orang yang beriman. Janganlah kamu menangis kerana kami sebagai saudaramu sentiasa berada di sisimu. Dalam surah Fussilat (41 : 30) :


إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ (30)

“Sesungguhnya orang – orang yang berkata “tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, maka akan turunlah para malaikat berkata “janganlah kamu takut dan jangan kamu sedih dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan.”

Duhai saudaraku yang baik,

Janganlah kamu bersedih disebabkan tiada siapa yang menghiraukanmu, tetapi sebenarnya Dialah Allah yang selalu menyayangimu dan mengingatimu. Ketahuilah bahawasanya nabi kita saw adalah seorang yang yatim piatu, dan ketika mana beliau belum dilantik menjadi rasul, tiada seorang pun melainkan semuanya menyayanginya. Penduduk – penduduk di situ memanggilnya al-Amin (orang yang benar) sehinggakan apa sahaja yang keluar daripada mulutnya akan dipercayai oleh semua orang. Bapa saudaranya Abu Lahab sangat menyayanginya sehinggakan pada hari kelahirannya dia sanggup meyembelih seratus ekor unta tanda sayang akannya. Beliau mempunyai bapa saudara bernama Abu Thalib yang begitu sangat menyayanginya. Beliau mempunyai isteri bernama Khadijah yang sangat menyayanginya dan merupakan penyejuk matanya. Tetapi selepas dilantik menjadi rasul, semua itu telah tukar menjadi sebaliknya. Dahulunya semua orang menggelarnya al-Amin (orang yang benar) bertukar menjadi al-Kazzab (orang yang pendusta). Perasaan sayang yang ada pada diri Abu Lahab bertukar menjadi benci sehinggakan dia mengupah orang supaya membunuhnya. Semua orang yang berjumpa dengannya menghinanya dan meludahnya sekiranya berada hampir dengan mereka. Tiadalah remaja – remaja melainkan melemparkan batu ke arahnya sehinggalah berlumuran darah. Setiap kali pulang ke rumah, bajunya akan berlemparan darah kerana dikasari oleh jiran – jirannya. Dia tidak mempunyai orang yang disayang melainkan ayah saudaranya Abu Thalib dan isterinya yang tercinta Khadijah. Tetapi malangnya pada tahun itu, isterinya telah meninggal dunia begitu juga bapa saudaranya yang tercinta. Sekarang dia tidak mempunyai sesiapa yang menyayanginya melainkan Allah dan dia tahu bahawa kasih sayang tuhannyalah yang kekal. Allah swt berfirman dalam surah ad-Dhuha (93 : 1-3) :

وَالضُّحَى (1) وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى (2) مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى (3)

“Demi waktu dhuha (1) Dan malam apabila ia sunyi – sepi (2) Bahawa tuhanmu tidak pernah meninggalkanmu dan tidak membencimu (3)



Maka janganlah kamu berasa keseorang dan bersedih, tetapi kuatlah hatimu dan jiwamu yang diredhoi. Sesungguhnya Allah dan tentera – tenteranya bersama kamu dan orang beriman. Dan percayalah bahawa Allah tidaklah pernah memberi musibah kepada hambaNya melebihi kemampuannya kerana Dialah yang Maha Kuat lagi Maha Penyayang. Yakinlah bahawa ujian itu adalah tanda cintaNya kepadamu dan jangan membuatNya kecewa kerana kecewaan Allah itu membawa kepada kebinasaan. Dalam surah al-Baqarah (2 : 258) :

...لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya..”


Berusahalah, serta janganlah berputus asa kerana Allah suka pada orang – orang yang kuat. Jangan kamu mengangap bahawa semuanya yang telah ditetapkan oleh Allah tidak perlu diusahakan. Bahkan tidaklah Dia pernah melihat hasil hambaNya, tetapi Dia melihat usaha hambaNya yang berusaha keranaNya. Allah berfirman dalam surah  ar-Ra’du (13 : 11) :

....إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ (11)

“……sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Wahai saudaraku, berusahalah janganlah sesekali kamu merasai bahawa dirimu seperti sebuah boneka yang hanya bergerak apabila digerakkan. Tuhanmu bukanlah sekejam begitu bahkan Dialah tuhan yang Maha Berkuasa mentadbir seluruh alam dengan kuasaNya. Tiadalah tuhan melainkan Dia yang Maha Pegampun lagi Maha penyayang. Dan janganlah sesekali kamu merasai dirimu kerdil. Tidaklah orang beriman itu melainkan orang yang tinggi kerana mereka mempunyai tuhan Yang Maha Esa. Dan janganlah sesekali berkata “aku tidak layak mendapat kasih sayangNya”. Kerana itu adalah perkataan yang sia – sia. Bukanlah Allah melainkan tuhan yang memberi rahmat kepada sekalian makhluk. Dia berfirman dalam surah ali Imran (3 : 139) :

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (139)

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang - orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang - orang yang beriman.”


Wahai saudaraku yang budiman,

Janganlah kamu bersedih dan berasa rendah bahkan kamulah tinggi kerana hatimu mempunyai Dia yang Maha Agung. Sekiranya kamu mempunyai masalah maka adulah padaNya kerana bukanlah Dia melainkan Yang Maha Mendengar segala doa. Mintalah padaNya, nescaya Dia akan kabulkan permintaanMu dan janganlah sesekali menyangka buruk terhadapNya kerana sekiranya begitu nescaya Dia akan menyangka buruk padamu. Dia berfirman dalam surah al-Baqarah (2 : 186) :

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ (186)

“Dan apabila hamba – hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahulah kepada mereka) : sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permintaan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat pertunjuk”.


Duhai saudaraku yang lembut,

Jangalah sesekali kamu merasa bahawa doamu tidak didengari oleh Allah bahkan Dialah Yang Maha Mendengar. Sekiranya kamu berdoa maka bersabarlah wahai saudaraku, kerana mungkin Dia menangguhkannya kerana sayangkanmu supaya Dia boleh mendengar doamu setiap hari. Bersangkalah baik kepada Allah nescaya akan diberi ganjaran yang tidak terhingga. Serta janganlah sesekali berputus asa dengan rahmatNya kerana orang beriman itu tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah kerana mereka tahu bahawa Dia adalah tuhan yang menguasai alam dan tiada tuhan selainNya. Allah berfirman dalam surah Yusuf (12 : 87) :

وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ (87)

“dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”.


Wahai saudaraku yang diredhoi,

Ingatlah akan pesanku yang kecil ini bahawa kehidupan dunia adalah sementara dan kehidupan akhirat adalah selama – lamanya. Tiadalah keperitan dan kenikmatan di dunia melainkan sebentar tetapi kenikmatan dan kesenangan di akhirat adalah kekal abadi. Sesungguhnya waktu dan manusia itu adalah saling berkait. Dan berkait itu adalah usia. Hakikatnya, usia adalah umpama kitaran waktu dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Adapun itu, manusia masih lagi dihijab dan disihir oleh dunia akan kebenarannya. Pada mulanya waktu fajar menyingsing, manusia adalah seorang bayi pada usianya. Tatkala mereka meningkat kepada remaja, maka mereka adalah umpama tergelincirnya sang suria dan tatkala usia makin lanjut maka mereka seperti pada waktu asar di mana matahari sedang kekuning – kuningan. Dan apabila mereka jauh pada usianya sehingga kebahagiaan makin sukar untuk dicapai, maka mereka seperti waktu matahari terbenam sehinggalah berlalunya malam yang hening dan sepi. Maka tibalah waktu terbitnya suria iaitu waktu yang dinanti – nantikan, ngeri bagi mereka yang ingkar dan indah bagi mereka yang taat, waktu itu adalah sakaratul maut..


Maka ingatlah pesananku duhai saudaraku. Tiadalah kata yang lebih indah melainkan kalamNya yang agung. Bacalah al-Quran nescaya tenanglah hatimu. Dan janganlah berpaling dari rahmatNya kerana sesungguhnya orang yang berpaling dari rahmatNya adalah orang yang sombong lagi ingkar padaNya….

Wassalam….

No comments:

Post a Comment