Thursday, September 26, 2013

Sumber - Sumber Yang Disepakati Dan Tidak Disepakati Sebagai Istidlal Dalam Ilmu Nahu (BAHAGIAN 2)

Assalamualaikum warahmatullah.. sudah lama saya tidak menulis semenjak balik bercuti di Malaysia 3 bulan lebih kerana sibuk dengan bengkel bahasa arab dan jalan – jalan bersama keluarga tercinta dan kawan – kawan lama. Sekarang saya sudah berada di Jordan, al-Mafraq bumi para anbiya’ dan sudah mula kuliyah. Jadi saya akan berkongsi kepada para pembaca yang dirahmati sebelum kesibukan datang pada diri saya. Sebelum itu saya ingin menunaikan janji saya pada penulisan yang lepas untuk menyambung menulis mengenai Sumber - Sumber Yang Disepakati Dan Tidak Disepakati Sebagai Istidlal Dalam Ilmu Nahu.

Tajuk ini sebenarnya agak panjang. Jadi supaya tidak terlalu panjang, saya sudah bahagikannya kepada tiga bahagian. Bahagian pertama saya sudah terangkan pada post lalu. Bagi mereka yang belum membacanya boleh tekan link di bawah untuk membuka :


Saya sarankan kepada mereka yang belum membaca bahagian pertama supaya membacanya kerana ianya saling berkait dan sangat penting untuk memahami tajuk ini secara menyuluruh. Jadi, saya sambung penulisan ini dengan

بسم الله الرحمن الرحيم

Sumber pertama yang disepakati dalam ilmu nahu adalah al-Quran seperti mana yang telah saya terangkan. Pada kali ini, saya akan terangkan sumber kedua pula, iaitu :

2)        كلام العرب (الشعر والنثر)  [Syiir dan Nasr]
Saya bahagikan kalam arab kedua dua iaitu syiir dan nasr. Syiir adalah kalam yang tersusun, yang mempunyai rima dan berangkap. Manakala nasr pula adalah selain daripada syiir, sebagai contoh kisah, cerpen, surat, dan sebagainya yang selain daripada syiir. Para ulama’ membahagikan syiir mengikut zaman :

1)    Syiir Jahili (الشعر الجاهلي)
2)    Syiir Islami (الشعر الإسلامي)
3)    Syiir Umawi (الشعر الأموي)
4)    Syiir A’basi (الشعر العباسي)
5)    Syiir Andalus wal Maghrib (شعر الأندلس والمغرب)
6)    Syiir Dual Mutatabi’ah (شعر الدول المتتابعة)
7)    Syiir Hadis wal Mua’sorah (شعر الحديث والمعاصرة)

Mereka membahagikan mengikut  zaman kerana syiir berbeza mengikut zaman dan tempatnya. Ciri – ciri dan bentuk-bentuknya juga berbeza antara satu sama lain. Begitu juga uslub atau gaya bahasanya. Saya tidak akan menerangkannya pada penulisan ini kerana objektif saya menulis pada kali ini adalah untuk menerangkan sumber-sumber yang disepakati dan bukanlah ciri – ciri syiir.

Secara ringkasnya, bukan semua zaman yang disebutkan di atas dijadikan sebagai syawahid atau istidlal tetapi terhenti pada awal pemerintahan Abasiyah sahaja iaitu pada tahun 150 Hijrah. Zaman ini disebut sebagai zaman istisyhad (عصر الاستشهاد) iaitu zaman yang dijadikan syiir sebagai sumber hukum dalam ilmu nahu. Ianya bermula pada zaman Jahiliyah, kemudian Islamiyah, seterusnya zaman Umawiyah sehingga awal zaman Abasiyah. Mengapa terhenti pada zaman Abasiyah? Bukankah pada zaman tersebut banyak lahirnya ulama’ – ulama’ yang terkenal dan hebat – hebat?

Benar, memang pada zaman A’basiyah telah lahirnya tokoh – tokoh ilmuwan yang hebat dan tidak hairanlah zaman tersebut digelar sebagai zaman keemasan kerana terlalu ramainya para ilmuwan ketika itu. Tetapi ini tidak boleh menjadikannya sebagai zaman istisyhad kerana beberapa faktor. Antaranya, pada zaman tersebut terlalu ramai hamba – hamba yang berasal dari India, Parsi, dan sebagainya yang bukan arab kerana kehidupan masyarakat arab yang terlalu mewah dan kaya serta suka berfoya – foya dengan kemewahan. Lalu kebanyakkan golongan arab malah sekiranya kita membuka buku sejarah, hampir kesemua khalifah abasiyah mengahwini orang yang bukan arab dan melahirkan zuriyat daripada mereka yang merupakan campuran orang arab dan parsi serta bangsa lain.  Dalam masa yang sama, perkataan dari parsi dimasukkan dalam syiir – syiir mereka dan percakapan mereka. Ini menyebabkan keaslian bahasa arab tu sendiri menjadi lemah. Atas sebab itu, para ulama’ mengambil berat dan serius dalam perkara ini supaya keasliannya tidak hilang dan kekal.

Maka syiir dan nasr ini menjadi rujukan kedua selepas al-Quran. Perlu diingat, bukannya semua apa yang keluar dari lidah orang arab dijadikan sumber dalil bagi bahasa arab. Bahkan ada di antara mereka yang merosakkan bahasa mereka sendiri. Jadi, untuk diperlihara daripada perkara ini berlaku, para ulama’ telah menekankan beberapa syarat. Antara kitab yang membincangkan mengenai syarat – syarat ini adalah kitab al-Iqtirah fi Ilmi Usul an-Nahwi (الاقتراح في علم أصول النحو) karya al-Imam Jalaluddin Abdurrahman bin Abu Bakar as-Suyuti (911 H), kitab al-Khasais (الخصائص) karya Ibn Jinni (392 H), Lamu’ al-Adillah fi Usul an-Nahwi karya Ibn al-Anbari (577 H). Justeru itu saya akan menyatakan beberapa syarat – syaratnya :

1)      Mestilah dari mulut orang yang fasih yang dipercayai bahasa arabnya. Sepertimana yang dinyatakan dalam al-Iqtirah karya as-Suyuti :

وأما كلام العرب فيحتج منه بما ثبت عن الفصحاء الموثوق بعربيتهم. قال أبو نصر الفاربي في أول كتابه المسمى بالألفاظ والحروف : كانت قريش أجود العرب إنتقاءً للأفصح من الألفاظ وأسهلها على اللسان عند النطق وأحسنها مسموعا.......

“Dan adapun kalam al-Arab (syiir dan nasr) itu maka dijadikan hujah daripadanya dengan apa yang tsabit daripada mereka yang fasih lagi dipercayai bahasa arabnya.  Abu Nasr al-Farabi berkata pada awal kitabnya yang bernama “al-Alfaz wa al-Huruf” : Kaum Quraisy adalah bangsa arab yang terbaik pemilihannya bagi sudut kefasihan lafaz, paling mudah ke atas lisan ketika menyebut dan paling elok didengar……”

2)    Diambil bahasa dari lidah sebahagian kabilah antaranya Qais (قيس), Tamim (تميم), Asad (أسد), Huzail (هذيل), sebahagian Kinanah (كنانة) dan sebahagian kabilah Thaie (الطائي).

3)    Tidak diambil bahasa daripada penduduk al-Barari yang bersebelahan dengan negara bukan arab dan tidak diambil daripada mereka yang bercampur dengan kaum lain seperti Lakhm (لخم), Jazam (جذام), Ghassan (غسّان), Iyad (إياد), Taghlib (تغلب), an-Namir (النمر), Bakr (بكر), Abdul Qais (عبد القيس), ahli Yaman, Bani Hanifah, penduduk Yamamah, Saqif (ثقيف), dan penduduk Thaif.

4)    Tidak diambil hujah kalam muallidin (المولدين) [ iaitu mereka yang hidup selepas zaman istisyhad] dan muhdisin (المحدثين).

5)    Diambil bahasa sehingga tahun 150 hijrah bagi mereka yang tinggal di bandar. Manakala mereka yang tinggal di perkampungan, diambil bahasa mereka sehingga akhir kurun ke-empat.

Para ulama’ telah membuat pensyaratan yang sangat ketat dan teliti supaya bahasa arab tidak rosak sehingga mereka yang tinggal di hujung negara yang berjiranan dengan negara bukan arab seperti Lakh dan Zajam serta yang lain tidak diambil sebagai hujah kerana takut lidah mereka telah bercampur dengan bahasa jiran.

Orang yang terakhir menjadi hujah dalam bahasa adalah Ibrahim bin Harmah seperti mana yang telah dinyatakan oleh al-Asmaie :

عن الأصمعي قال : ختم الشعر بإبراهيم بن هرمة وهو آخر الحجج.
“Daripada al-Asmaie berkata : diakhiri syiir dengan Ibrahim bin Harmah dan dia adalah pengakhir segala hujah.”

Manakala orang pertama yang menjadi golongan muhdisin ialah Basyar bin Burd sepertimana yang terdapat dalam al-Iqtirah :

أول الشعراء المحدثين بشار بن برد....
“Pensyair muhdisin yang pertama ialah Basyar bin Burd…”

Untuk lebih terang, saya sertakan beberapa contoh syiir yang menjadi syawahid dalam ilmu nahu :
نحن الّذون صبحوا الصباحا                يوم النخيل غارة ملحاحا
Syiir di atas adalah syiir bagi kabilah Huzail yang sebahagian daripada mereka menggunakan isim mausul (الذين) dalam keadaan rafa’ dan tidak mabni  menjadi allazuna (الّذون). Jadi syiir ini menjadi hujah bagi mereka yang berpendapat sedemikian.

Saya beri lagi satu misal lain :
أبناؤها متكنفون أباهم             حنقو الصدور وما هم أولادَها

Syiir ini menjadi dalil dan hujah pada huruf (ما) yang beramal amalan laisa (ليس) iaitu dirafa’kan isim dan dinasabkan khabarnya. Perkataan (أولاد) pada syiir di atas menjadi nasab kerana huruf (ما) beramal amalan laisa.

Secara justifikasinya, kalam al-arab menjadi sumber kedua selepas al-Quran al-Karim. Sebenarnya saya hendak terangkan lebih terperinci mengenai riwayat dan syarat jalur perawi syiir yang berbeza daripada syarat penerimaan perawi hadis. Malangnya saya takut panjang dan hanya inilah ringkasan yang saya boleh buat. Insya Allah, pada penulisan akan datang saya akan menerangkan sumber yang tidak disepakati iaitu hadis nabawi saw. Kenapa hadis menjadi sumber yang tidak disepakati? Kenapa ia didudukkan pada darjat ketiga selepas syiir dan nasr? Semuanya saya akan terangkan secara mendalam perbahasan para ulama’ mengenainya pada penulisan akan datang. Insya Allah saya berharap agar para pembaca mendapat banyak manfaat daripadanya. 

Wassalam... :)

1 comment:

  1. سبحان الله
    sangat menarik dan bersemangat nak mendalami ilmu nahwu...

    ReplyDelete